Judul: Ijtihad Di Dalam Fiqh Perubatan
Penulis: Dr. Muhammad Sulaiman Al-Ashqar
Penerbit: Pustaka Syuhada
Harga: RM 21.00 (Dibeli dengan harga RM 10.00)
Status: Rujukan pengajian
Ulasan:
Buku ini saya beli di Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2013) yang berlangsung 27 April 2013 sehingga 4 Mei 2013. Apa yang menarik perhatin saya untuk membeli buku ini ialah tajuknya, harganya dan perbincangan di dalamnya.
Mengenai tajuknya, minat saya terhadap perubatan dan kaitan dengan kaedah fiqh Islam serta aplikasi kontemporari mendorong saya menyelongkar dengan lebih banyak-tajuk-tajuk yang termasuk dalam bidang ini. Di Mesir saya mengambil subjek Fiqh Tibbiyyah al-Mu'asarah atau nama lainnya 'Fiqh Perubatan Kontemporari'.
Harganya adalah 50% kurang daripada harga sebenar. Ini bersempena PBAKL yang berlangsung. Saya jenis tidak kisah dengan kulit luar yang kurang menarik atau persembahan yang tiada bergambar. Namun, pada hemat saya, buku ini penuh dengan ilmu yang perlu saya ketahui dan sememangnya yang saya cari selama ini.
Saya bukanlah orang yang alim dalam bidang perubatan. Tetapi ada masa sangat berminat mengkaji kaitannya dengan sumber Islam. Pernah beberapa kali mengajak beberapa orang sahabat untuk bersama kecimpung mengkaji subjek sebegini, namun tiada yang benar-benar berminat. Maka mulai hari itu, saya tidak lagi berharap pada orang lain. Lebih baik usaha atas ikhtiar sendiri daripada mengharap sumbangan orang yang tidak diketahui muncul tibanya.
Di dalam pendahuluan buku ini, penulis menyatakan bahawa buku ini dalah hasil himpunan kajian-kajian yang telah beliau bentang ketika diundang oleh pertubuhan Islam di dalam pelbagai seminar Majlis Perhimpunan Fikah Islam di Jeddah. Walaupun kandungannya sepintas lalu saya lihat tidak disertakan elemen saitifik dengan padat, namun ia boleh dijadikan rujukan dasar dalam mengetahui sesuatu hukum terkini dalam isu perubatan terkini.
Ringkasan kandungan buku ini adalah seperti berikut:
1- Pengklonan Dalam Pertimbangan Syariat Islam
2- Keibuan dan Penyakit AIDS
3- Membongkar Rahsia dan Hukumnya Dalam Syariat Islam serta Perlaksanaannya Dalam Bidang Perubatan
4- Permulaan Hidup Manusia dan Kesudahannya
5- Bahan-bahan Yang Haram dan Najis Untuk Digunakan Sebagai Makanan Serta Ubat-ubatan
6- Pemindahan Dan Pemasangan Organ Pembiakan
7- Binatang Sembelihan dan Penyembelihan Menurut Syariat
8- Penggunaan Hadith-hadith Nabi Sebagai Hujah
9- Mengesahkan Nasab Keturunan Dengan DNA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.